Saturday, October 25, 2008

Wang Simpanan Anda Akan Selamat Dalam Daulah Khilafah


Bank runs’ (keadaan di mana para pendeposit dalam keadaan panik pergi ke bank untuk mengeluarkan deposit mereka) merupakan fenomena yang berlaku akibat penggunaan fractional-reserve banking (sebuah bentuk perbankan di mana bank hanya menyimpan sebahagian kecil dari wang pendeposit sedangkan sebahagian besar darinya dijadikan sebagai modal untuk mengeluarkan pinjaman).

Bank menurut sejarah adalah sebuah gudang penyimpanan wang. Di mana para pelanggan menyimpan emas (pada masa itu) supaya keselamatannya terjamin. Pada mulanya pelanggan akan dikenakan bayaran atas perkhidmatan tersebut. Lama kelamaan pihak bank dapati para penyimpan jarang mengeluarkan keseluruhan deposit mereka.Dengan itu, pihak bank boleh mengeksploitasi bahagian deposit yang tidak digunakan (kerana tidak dikeluarkan oleh pelanggan) untuk menambah keuntungan, dengan cara mengeluarkan pinjaman yang berasaskan interest (riba). Bank-bank ini telah pergi lebih jauh dalam usaha untuk memperolehi keuntungan yang lebih besar dengan mengeluarkan resit kepada deposit yang tidak wujud. Amalan ini menyebabkan penambahan penawaran wang melebihi dari jumlah sebenar deposit yang ada dalam simpanan mereka.

Malangnya, amalan ini tidak diharamkan seperti kesalahan mencetak wang palsu atau mencuri. Sedangkan ia merupakan satu bentuk ‘rompakan’ yang besar yang berlaku setiap hari, yang mana hasil titik peluh orang ramai dimanipulasi oleh pihak bank untuk mendapat lebih keuntungan.

Krisis dan penyelamatan perbankan dari masalah kewangan, adalah kitaran tabie kepada ekonomi ‘boom-bust’. Fractional-reserve banking adalah amalan perbankan yang bertanggungjawab kepada meningkatnya kadar inflasi (penurunan kuasa beli oleh sesuatu mata wang) kerana peningkatan penawaran wang. Ditambah dengan godaan kemudahan kredit yang disediakan oleh bank maka gambaran krisis kewangan dewasa ini menjadi lebih jelas. Dalam kes Amerika Syarikat, wang dicurahkan ke dalam sektor hartanah, para broker yang tidak mengenal kasihan seterusnya mengambil kesempatan dari kemudahan kredit yang tidak terbatas, bank secara berterusan melalui kekuatan fractional-reserve banking untuk mengepam dan menyediakan lebih banyak kredit. Pasaran hartanah yang terlalu panas akhirnya melemah dan seterusnya jatuh menjunam, membawa jatuh bersama-samanya keseluruhan pasaran kewangan.

Apabila pasaran mula mengeluarkan bunyi gelegak seperti cerek air di dapur, maka orang ramai mula gelisah. Apabila mendengar suara krisis kecairan dan insolvensi telah mula menjangkiti sektor perbankan tempat menyimpan wang simpanan mereka, reaksi pertama adalah mengeluarkan keseluruhan wang simpanan mereka dari sana – wang yang diperoleh hasil usaha puluhan tahun mereka, simpanan hari tua dan masa depan anak-anak mereka. Inilah yang dikatakan sebagai ‘bank run’. Hari yang mana pihak bank berdoa kepada Tuhan palsu kapitalisme mereka supaya tidak kunjung tiba. Sebab bahagian wang simpanan pelanggan yang ada pada mereka hanyalah bahagian yang kecil, sedangkan bahagian besarnya telah ‘dirompak’ oleh mereka dan tidak ada di situ.

Dalam Islam hanya ada satu bank utama iaitu Baitul Mal. Jika difikirkan wajar oleh Khalifah, maka terdapat juga bank-bank lain tetapi hanya sekadar sebagai tempat menyimpan wang, bukannya tempat untuk mengenakan riba kepada orang ramai. Tiada transaksi ribawi dan fractional-banking, tiada juga inflasi yang ganas dari penawaran wang yang tidak terbatas, atau kitaran kemakmuran-kemelesetan (boom-bust cycles).

Ringkasnya, wang anda akan kekal sebagai wang anda dan jika anda berlari ke bank untuk mengeluarkannya, anda akan dapati wang tersebut menanti anda.

Thursday, October 23, 2008

Legasi demokrasi

Sampai bila kita perlu menegakkan sistem jahil ini!

Ketika ahli Parlimen Sepang yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berucap pada majlis penyampaian bantuan Deepavali kepada lebih 400 penduduk keturunan India di sekitar Tanjung Sepat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Teluk Merbau 22hb Oktober lepas, beliau menyatakan bahawa kerajaan akan terus melindungi kepentingan majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini daripada ancaman pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Menurutnya lagi, kumpulan majoriti mesti dipertahankan daripada kumpulan minoriti yang cuba hendak menggugat keamanan kerana ia adalah prinsip asas demokrasi.

Mungkin kumpulan minoriti yang dimaksudkan itu adalah Hindraf dan juga kumpulan-kumpulan lain yang tidak berpuas hati dengan kerajaan. Kumpulan mana sahaja yang mengkritik kerajaan biasanya akan dianggap sebagai ‘menggugat keamanan negara’. Seperkara lagi, kumpulan-kumpulan yang mengkritik kerajaan ini juga akan dianggap sebagai menentang ‘demokrasi’ yang dianggap suci yang menjadi amalan negara sejak sekian lama. Justeru, apa sahaja tindakan mana-mana kumpulan yang menentang kerajaan akan dikatakan tidak demokratik dan akan ditafsirkan sebagai menggugat keamanan.

Inilah hakikat demokrasi yang disucikan oleh ramai orang, apatah lagi pemerintah dalam sistem sekarang. ‘Demokrasi’ akan digunakan oleh pemerintah untuk melabelkan siapa sahaja yang mereka tidak suka sebagai ‘melanggar prinsip demokrasi’. Dan apabila prinsip suci ini dilanggar, maka setiap orang akan menjadi bersalah dan akan dihukum.

Idea asal demokrasi adalah memberi hak kepada setiap orang untuk bersuara dan berkumpulan. Namun oleh sebab demokrasi ini hanyalah diletakkan di bawah ketiak kerajaan, maka terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat pelbagai tafsiran mengenainya. Walaupun mereka menafikan hak rakyat untuk bercakap, berhimpun, menubuhkan kumpulan dan sebagainya (yang sebenarnya dibolehkan dalam sistem demokrasi), namun mereka tetap menyatakan tindakan mereka menghalang semua ini sebagai demokratik. Kerana apa? Kerana ‘definisi’ demokrasi adalah di tangan mereka dan mereka memiliki hak mutlak untuk menafsirkannya.

Justeru, mana-mana individu atau kumpulan yang mereka tafsirkan sebagai membahayakan demokrasi, maka individu atau kumpulan terbabit biasanya akan ditangkap, termasuklah para pejuang Islam yang ingin menegakkan agama Allah. Walaupun tanpa bukti yang para pejuang Islam ini menimbulkan kekacauan, ketidakstabilan atau keganasan, namun oleh sebab tindakan mereka mengkritik kerajaan, maka ini dikatakan boleh menimbulkan huru-hara dan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Hakikatnya demokrasi bukanlah memberi kesejahteraan kepada rakyat tetapi hanya memberi kesejahteraan kepada pemerintah. Demokrasi memberi kebebasan sepenuhnya kepada pemerintah untuk sewenang-wenangnya menggubal pelbagai undang-undang dan peraturan, hatta sezalim mana sekalipun undang-undang tersebut, selagi mana majoriti ahli-ahli parlimen menyokongnya, maka ia akan diluluskan. Dengan inilah wujudnya, ISA, OSA, AUKU, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi akta-akta lain yang bertentangan sama sekali dengan Islam yang mereka luluskan demi membendung mana-mana orang atau kumpulan dari mengkritik kerajaan. Inilah hakikat demokrasi yang disucikan oleh kerajaan kerana dapat menjaga ketamakan, kerakusan dan kezaliman mereka terhadap rakyat.

Jadi, kepentingan siapakah yang sebenarnya dilindungi oleh demokrasi, rakyat atau kerajaan? Kerajaan kononnya mengatakan bahawa mereka akan memastikan kepentingan majoriti rakyat dilindungi tetapi pada masa yang sama hak rakyat dirampas sewenang-wenangnya. Kepentingan dan hak rakyat ke atas hasil minyak, gas, balak dan hasil bumi lainnya, semuanya telah dikaut oleh pemerintah dan pemerintah menjadi kaya raya kerananya, manakala rakyat terus merana. Bila rakyat bersuara ingin menuntut hak mereka, dengan kata lain mengkritik kerajaan kerana hak mereka telah dirampas, maka perbuatan rakyat ini akan terus dicop sebagai melanggar prinsip demokrasi. Inilah keindahan demokrasi yang dinikmati oleh kerajaan dan rakyat yang masih belum sedar bahawa demokrasi hanyalah sebuah sistem kufur yang diwariskan dari penjajah terus menerus berusaha memperjuangkannya, walhal mereka senantiasa dalam keadaan ditipu dan ditindas oleh pemerintah, atas nama demokrasi!

Sultan Murka

Speaker DUN Kelantan, Ustaz Nasaruddin Daud memberikan peluang sehari kepada Berita Harian untuk menarik balik kenyataan Akhbar Berita Harian semalam yang bertajuk Sultan murka kerajaan PAS gagal tadbir Kelantan. Dalam artikel ini kelihatan Berita Harian cuba memanipulasi titah ucapan Sultan Kelantan kepada kerajaan negeri yang dipimpin PAS, untuk menghentam PAS yang pada pandangan mereka gagal mentadbir kerajaan negeri. Hentaman dan propaganda Berita Harian ini cuba ‘dilapik’ mereka dengan titah ucapan Sultan.

Mungkin Berita Harian cuba memulangkan paku buah keras kerana sebelum ini PAS dilihat menyerang Kerajaan Pusat dengan kenyataan Sultan Kelantan melalui tulisan yang bertajuk Sultan tegur kerajaan pusat lambatkan projek pembangunan di Kelantan. Isu itu tidak dijawab oleh kerajaan Pusat, tetapi kemudian Berita Harian kini cuba menyerang balik PAS dengan penulisan yang hampir sama. PAS bagaimanapun terus merespon kepada serangan ini dengan meminta Berita Harian menarik balik laporan. Berita Harian pula hari ini memuatkan satu penulisan untuk melawan balik dan mempertahankan kebenaran dengan tulisan Tajuk berita titah Sultan dibantah.

Bermula dengan pertikaman pena, kemudian pertikaman lidah dan tidak mustahil boleh membawa kepada mahkamah, semuanya kerana teknik penyampaian/penulisan berita dalam Sistem Kapitalis yang cuba untuk menjatuhkan satu sama lain, walaupun penulisnya beragama Islam dan bersaudara. Berita sering dimanipulasi sedemikian rupa untuk menutup kelemahan sendiri dan mencari kelemahan orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan pihak lawan.

Perseteruan yang melibatkan dua kerajaan ini (kerajaan negeri dan kerajaan pusat) hanyalah menyebabkan rakyat menjadi mangsa, ibarat kata pepatah gajah sama gajah berlawan, kancil mati di tengah-tengah. Siapa tak tahu yang rakyat Kelantan sering di anak tirikan oleh Kerajaan Pusat dengan tidak memberi atau pun melambat-lambatkan segala projek atau pemberian geran dan sebagainya, semata-mata kerana yang memimpin Kelantan adalah mereka yang datang dari parti yang berbeza dari kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat seolah-olah memberitahu bahawa inilah padahnya jika kamu mengundi selain UMNO/BN. Inilah hakikat sebuah parti sekular yang sememangnya tidak akan dapat bekerjasama dengan sebuah parti Islam.

Sistem demokrasi telah mengajar bahawa yang memimpin kerajaan adalah parti politik. Oleh itu, mana-mana parti yang memimpin sudah secara tabiinya akan mengutamakan rakyat yang merupakan ahli partinya dari ahli parti lain. Mereka memandang dan melayan ahli-ahli dari parti lain seolah-olah seperti ‘musuh’, walaupun akidah keduanya adalah sama-sama Islam. Kerana cara berfikir yang salah inilah yang telah menyebabkan rakyat yang tidak separti dengan pemerintah terabai.

Sedangkan Islam mengajar bahawa kewajipan seorang pemimpin adalah untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengatur hal ehwal mereka, tidak kiralah parti apa yang dimasuki rakyatnya, atau yang tidak mempunyai parti atau bahkan jika rakyatnya kafir sekalipun. Selama mana mereka adalah rakyat, maka kewajipan bagi pemimpin/pemerintah untuk menjaga mereka. Sabda Rasulullah saw,

“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Muslim]

Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Muslimnya, perkataan al-ra’i dalam hadis ini bermaksud pemimpin atau pemelihara yang diberikan amanah dan tegas dalam menjalankan amanahnya sebaik mungkin bagi memastikan kebaikan, keselamatan dan kesejahteraan apa yang diamanahkan kepadanya sama ada dari segi kehidupan keduniaan dan keagamaan atau keakhiratan dan lain-lain perkara yang bersangkutan dengan kedua-duanya.

Justeru, bukanlah tugas pemimpin (sama ada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat) membuat laporan-laporan akhbar yang boleh menipu rakyatnya sendiri, atau memutar belit berita yang boleh mengelirukan atau pun berpolemik dengan berita, apatah lagi melaporkan berita yang boleh menyebabkan pergaduhan sesama umat Islam.

Islam memandang penting akan berita-berita yang dilaporkan sehingga Allah SWT menyeru kita agar melakukan pemeriksaan rapi terhadap berita yang kita dengar. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan" [TMQ al-Hujurat (49):6]

Justeru, kita sepatutnya keluar dari polemik yang boleh memecahbelahkan lagi sesama umat Islam dan kita sepatutnya bersama-sama berusaha untuk menyatukan umat Islam di bawah satu pemerintahan dengan menegakkan kembali Sistem Khilafah. Hanya dengan ini sahajalah, maka tidak akan wujud lagi konsep ‘kerajaan negeri’ dan ‘kerajaan pusat’ yang menjadi amalan dalam sistem federasi di Malaysia yang telah ditinggalkan penjajah kuffar ini.

Zakat untuk orang kafir

Zakat dan peranan sebenarnya

Dua anggota pembangkang mempersoalkan langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim yang mencadangkan agar kerajaan negeri menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor. Datuk Dr. Satim Diman (BN-Sri Serdang) dan Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) berkata, soal pengurusan wang zakat tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak dan dijadikan isu untuk kepentingan politik. Menurutnya, wang zakat yang dikumpul adalah untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan agama Islam.

Dr. Mohd. Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) membangkitkan perkara itu ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam. Beliau menegaskan bahawa ia merupakan soalan (kemusykilan) bukan usul. Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak cadangan tersebut dari dilaksanakan dalam negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat ketika ini.

Keseluruhan asnaf yang layak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah hanya kepada orang-orang Islam sahaja. Ia termaktub dengan jelas di dalam Al-Quran,

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan ibnu sabil. (Yang demikian itu) sebagai satu ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” [TMQ At-Taubah (9):60]

Justeru, amat naif sekali pandangan yang menyatakan agar zakat turut diberi kepada orang-orang kafir. Inilah akibatnya apabila konsep keadilan yang sama rata yang terdapat dalam fahaman sosialis ingin diterapkan ke dalam Islam. ‘Keadilan’ di dalam Islam langsung tidak sama dengan ‘keadilan’ yang ada di dalam Ideologi lain. Keadilan dalam Islam bukan bergantung pada kesamaan damal hal material yang dibahagikan kepada seseorang walaupun inilah makna keadilan yang terdapat di dalam Ideologi Sosiallis mahupun Kapitalis.

Islam memandang bahawa dua bahagian kepada anak lelaki dan satu bahagian kepada anak perempuan dalam masalah pusaka adalah adil. Islam memandang bahawa aurat lelaki dari pusat ke lutut dan aurat perempuan adalah keseluruhan anggota badan kecuali tapak tangan dan muka adalah adil. Islam memandang bahawa lelaki boleh kahwin sehingga empat manakala perempuan satu sahaja adalah adil. Dengan kata lain, keadilan di dalam Islam adalah dengan mengikuti setiap perintah dan larangan Allah, walaupun hak dan pembahagian tersebut tidak sama pada pandangan manusia. Hal ini berbeza dengan Ideologi Sosialis mahupun Kapitalis yang mengukur keadilan menggunakan akal.

Dalam Islam, orang Islam diwajibkan zakat, manakala orang kafir diwajibkan membayar jizyah. Pengiraan zakat telah tetap caranya, manakala jumlah jizyah bergantung pada pendapat Khalifah selaku ketua negara. Walaupun jumlah kedua tidak sama, namun ini adalah adil menurut Islam. Islam mengukur keadilan berdasarkan hukum wahyu, bukan hukum akal. Justeru, apa sahaja hukum yang ditetapkan oleh Allah, maka itu adalah adil bagi manusia. Sebagai Muslim, kita mesti ingat bahawa Allah adalah Pencipta Manusia, Pembuat Hukum, Maha Mengatur dan Maha Adil. Oleh itu, apa sahaja yang diputuskan oleh Allah yang berupa hukum-hukum syarak bagi manusia, maka kesemuanya adalah adil. Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah zalim.

Jika direnung dengan teliti, pandangan ini juga merupakan manifestasi dari fahaman liberalisme yang sedang menular di kalangan umat Islam. Ia cuba meliberalkan semua perkara termasuklah hukum-hukum Allah yang qath’ie sifatnya. Idea yang dicanangkan oleh Barat ini telah mendapat tempat di kalangan orang-orang Islam yang jahil dan jauh dari Islam. Oleh kerana kejahilan di kalangan umat Islam itu sendiri, maka fahaman dan pemikiran asing yang merosakkan Islam boleh bercambah dengan suburnya. Hukum akal didewakan oleh golongan ini, manakala hukum wahyu ditinggalkan. Malang sungguh bagi umat Islam kerana di kalangan mereka, terdapat golongan seperti ini yang menjadi pemimpin.

Apa cerita Umno

Menunggu Mac 2009

Hampir setiap hari akhbar kini memaparkan pergolakan dan pertikaian lidah antara ahli-ahli UMNO. Tidak sekadar itu, kes-kes pergaduhan, kutuk-mengutuk, baling kerusi, demonstrasi, boikot, fitnah-memfitnah, rasuah dan pelbagai kemungkaran lain turut dilaporkan berlaku sepanjang mesyuarat UMNO sekarang.

Terbaru, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menganggap saranan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya semua jawatan tertinggi parti Umno dipertandingkan secara 'tender' sebagai menghina parti Melayu terbesar itu. Beliau berkata, gejala politik wang tidak akan dihapuskan melalui sistem itu, malah menenggelamkan amalan demokrasi kerana hanya yang mempunyai wang yang banyak yang dapat menguasai parti. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu secara berseloroh berkata, jika beliau diminta menilai Rais secara tender maka nilai yang akan diberikan kepadanya hanya RM1.

Setiap kali berlangsungnya pemilihan parti, haru biru UMNO jadinya dengan kerenah dan gelagat ahli-ahli parti yang berebut ingin bertanding. Apa tidaknya, kemenangan akan menjanjikan seribu satu kemewahan, siapa tidak mahu? Inilah hakikat UMNO yang masih berpegang erat dengan politik Kapitalis. Bau busuk politik kufur sekular tercium di seluruh Malaysia, apatah lagi di dalam UMNO itu sendiri. Dari dalam, bau busuk yang menerjah hidung ahlinya sendiri sudah tidak lagi dapat mereka tahan. Segala kemungkaran yang berlaku ini ibarat orang yang membuka pekung kudis dan nanah di badannya sendiri. Apabila terbuka maka keluarlah segala macam bau busuk yang meloyakan, yang selama ini ditutupi oleh baju yang cantik bergaya dan mahal harganya.

Inilah kesan dan akibatnya apabila pemikiran politik sekular kapitalisme membelenggu cara fikir ahlinya. Para pemimpinnya sendiri sudah naik muak dan jijik dengan apa yang berlaku apatah lagi orang luar yang memerhatikan sepak terajang permainan politik mereka. Penyakit rasuah yang dibungkus dengan jenama politik wang masih tidak dapat dibebaskan dari UMNO. Setiap kali naiknya seorang pemimpin UMNO, termasuklah Pak Lah sendiri, setiap kali itulah kita mendengar mereka ingin menghapuskan rasuah. Namun setiap kali itulah kita menyaksikan indeks rasuah dan gejala rasuah semakin berleluasa. Jika Pak Lah gagal membendung aktiviti haram dan keji ini di dalam parti yang dipimpinnya sendiri, bagaimanakah dia ingin menghapuskannya dalam kerajaan yang dipimpinnya?

Sampai bilakah agaknya pemimpin dan orang-orang UMNO akan sedar dan bertaubat dari segala keburukan yang mereka lakukan ini? Adakah mereka hanya akan terhantuk bila telah disepak keluar dari UMNO seperti apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim? Mungkin juga. Apa yang pasti ialah, selama mereka masih menikmati ‘manfaat’ dari UMNO, walau busuk macam mana sekalipun parti assabiyyah ini, mereka akan tetap sanggup bersamanya.

Persoalan untuk kita umat Islam adalah, bagaimana mungkin kita akan mendapat rahmat atau kebaikan apabila golongan yang memimpin kita ialah golongan yang terkenal dengan politik wang, rasuah, suka memfitnah, bergaduh, menghentam sesama sendiri dan hanya mementingkan kepentingan peribadi? Apakah kebaikan yang kita harapkan dengan adanya pemimpin yang merasuah rakyat untuk menjadi pemimpin? Sebagai Muslim, anda pasti ada jawapannya!

Kita hendaklah sedar bahawa Allah swt menjanjikan kita sebagai umat yang terbaik, dengan syarat kita melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar,

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3):110].

Justeru, apabila umat Islam itu melakukan kemungkaran dan mencegah kebaikan dan mereka tidak beriman kepada Allah, maka mereka akan menjadi umat Islam yang terhina. Allah telah menghina golongan ini dunia dan akhirat,

“Apakah kamu hanya beriman kepada sebahagian (dari isi) Al-Kitab dan kufur akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan dimasukkan ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai dengan apa yang kamu lakukan.” [TMQ al-Baqarah (2):85]

Pemimpin-pemimpin UMNO yang rata-ratanya adalah pemimpin Malaysia perlu bertanya diri mereka, apakah mereka telah menerapkan isi Al-Quran, apakah mereka telah menerapkan hududullah? Ternyata, mereka bukan sahaja tidak menerapkan hukum Allah, malah mereka berbangga menerapkan hukum kufur yang mereka luluskan dengan cara majoriti di bawah sistem demokrasi! Alangkah besarnya kemungkaran yang mereka lakukan! Inilah hakikat politik mereka. Mereka bukannya mencontohi aktiviti politik yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, sebaliknya mereka mengikuti jejak langkah politik Abu Jahal, Abu Lahab, Walid bin Mughirah, Utbah bin Rabi’ah dan sekutu-sekutu mereka. Apabila kita menasihatkan mereka dengan Islam, maka mereka sombong, mereka menjadi marah, malah mereka memantau, menangkap, menyeksa dan memenjara golongan yang menyuruh mereka menerapkan Kitabullah. Alangkah hinanya mereka!